KUALA LUMPUR: Keluarga warga Indonesia, Riduan Isamuddin atau dikenali sebagai Hambali, dalang insiden pengeboman di Bali, menerima tamparan hebat selepas Lembaga Kajian Berkala penjara Guantanamo menolak rayuannya untuk dibebaskan dari penjara tersebut. Hambali sedang menjalani hukuman penjara di Guantanamo selama lebih 10 tahun. Lelaki berusia 52 tahun itu yang dikenali sebagai Osama bin Laden Asia Tenggara memohon untuk dibebaskan pada Ogos lalu di hadapan Lembaga Kajian Berkala dengan berkata dia hanya mahu kehidupan yang lebih aman. Adik bongsunya, Kankan Abdul Qodir, 38, akur dengan keputusan tersebut. "Apa yang boleh kita lakukan jika AS (Amerika Syarikat) fikir dia (Hambali) merupakan ancaman kepada mereka? Tiada apa yang boleh kita lakukan. Kita hanya menerima keputusan itu," kata Kankan kepada The Star dalam satu temubual menerusi panggilan telefon dari Cianjur, Jawa Barat, Indonesia. "Sudah tentu sebagai ahli keluarganya, kami berharap dia akan dibebaskan. Namun apa sahaja yang berlaku, ia ketentuaan Allah." Lembaga Kajian Berkala itu menolak rayuan Hambali pada 25 Oktober lalu dengan menegaskan dia masih lagi ancaman keselamatan kepada AS. Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti-Pengganas, Cawangan Khas Bukit Aman SAC Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay berkata Malaysia tidak akan menerima Hambali sekiranya dia dibebaskan kerana dia hanyalah pemegang Taraf Penduduk Tetap (PR). Jika dia kembali, Malaysia berdepan dilema kerana ketiadaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sudah dimansuhkan untuk menahan Hambali yang didakwa terlibat dalam kegiatan militan. ISA kini digantikan dengan Akta Kesalahan-Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas)(Sosma) 2012. "Sosma tidak boleh digunakan untuk menahannya kerana kesalahan Hambali dilakukan dari tahun 1985 hingga 2003. Sosma tidak boleh digunakan secara retroaktif," kata Ayub. Beliau turut memberi amaran bahawa Hambali akan aktif semula dalan kegiatan militan sekiranya dia dibebaskan. "Hambali mempunyai kapasiti besar untuk merekrut orang ramai... dia berkarisma dan mempunyai kenalan di kalangan pemimpin Al-Qaeda. "Ramai pemimpin kanan JI (Jemaah Islamiah) dilatih Hambali dan Yazid Sufaat (Malaysia)," kata Ayub. Pada masa sama, pegawai bahagian anti-pengganas Indonesia turut memberi amaran bahawa Hambali akan menjadi ancaman besar kepada negara itu sekiranya dia dibebaskan. "Ia akan jadi bencana kepada Indonesia jika Hambali pulang kerana dia amat berbahaya," kata seorang pegawai kanan keselamatan Indonesia.