KUCHING: Puteri Anne dari Britain memuji usaha kepemimpinan negeri ini yang begitu komited dalam melindungi alam sekitar. Sarawak telah menggariskan contoh yang amat baik, titah baginda dalam ucapan pada majlis makan malam bersempena meraikan perwakilan Emerging Leaders Dialogue Asia 2016 yang diadakan di sini bermula hari ini hingga esok. Baginda bertitah dialog itu yang dihadiri 83 perwakilan daripada 20 negara akan membantu menyebarkan amalan baik yang dilaksanakan oleh Sarawak. Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dan isterinya Puan Sri Jamilah Anu, Pesuruhjaya Tinggi Britain di Malaysia Victoria Trendell dan Presiden Persatuan Persidangan Kumpulan Pengajian Komanwel Malaysia (COSCAM) Adrain Jerome antara yang hadir pada majlis itu. Puteri Anne turut berterima kasih kepada kerajaan negeri yang memberikan pengiktirafan dan sokongan kepada dialog itu yang menurut baginda akan memberi manfaat kepada pemimpin berpotensi dari negara anggota Komanwel dan negara lain. Baginda bertitah dialog itu berobjektif untuk mendidik dan menghubungkan mereka di peringkat global serta menggalakkan kepimpinan bagi pembangunan mampan. Terdahulu dalam ucapannya, Adenan berkata kepimpinan beliau akan terus menjadikan usaha melindungi alam sekitar negeri sebagai antara keutamaan. "Kami mahu memastikan keindahan alam semulajadi Sarawak terus terpelihara.Kami akan meneruskan usaha membanteras pembalakan haram. "Tiada lagi ladang-ladang baharu. Kami akan mewujudkan lebih banyak taman negara untuk menyelamatkan Orang Utan," katanya. Adenan turut mengingatkan para perwakilan untuk memasukkan aspek perlindungan alam sekitar dalam dialog mereka. "Jika anda tidak melindungi alam sekitar, alam sekitar tidak akan melindungi anda. Sebenarnya ia akan mendatangkan masalah. Jadi, marilah kita bersatu dalam melakukan ini," katanya. Adenan berkata Sarawak mengagumi pendirian tegas Britain dalam melindungi alam sekitarnya menerusi undang-undang dan peraturan, dan penguatkuasaan.