suria

12 Dewan Pembedahan HSA Ditutup

KUALA LUMPUR: Kesemua 12 dewan pembedahan Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru yang terlibat dalam kebakaran telah ditutup dan operasi perkhidmatannya dipindahkan ke hospital-hospital berdekatan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata operasi Unit Rawatan Rapi HSA turut dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI).

"Pakar kita (HSA) pergi dengan pasukan sendiri dan staf sokongan untuk buat pembedahan, kemudian (setelah selesai) balik semula ke hospital lama (HSA)," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang perkembangan terkini operasi HSA, yang terbakar pada 25 Okt lepas sehingga meragut enam daripada tujuh pesakit yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Selatan hospital itu.

Katanya setakat ini semua urusan HSA di hospital-hospital yang dipindahkan tidak menghadapi masalah.

Berhubung titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang memperkenan Wad Diraja digunakan bagi tujuan rawatan pesakit di HSA, Dr Hilmi berkata setakat ini belum ada keperluan untuk penggunaan wad berkenaan.

"Belum (digunakan), sebab (Hospital Medan) yang pihak tentera sediakan sudah mencukupi, jadi tiada masalah," katanya.

Berikutan insiden kebakaran itu, Kementerian Kesihatan mengarahkan penutupan sementara secara berperingkat bangunan induk HSA bagi memberi ruang kerja-kerja penilaian tahap keselamatan, pendawaian, kajian struktur bangunan dan hal-hal berkaitan dilakukan, dan dijangka mengambil masa dua hingga empat minggu. - BERNAMA

HSA, Hospital Sultanah Aminah

Artikel Sebelum

Operasi LTSIP Kembali Pulih

Artikel Berikut

12 Geng 36 Dicekup Polis

Artikel Lain