KOTA BHARU: Operasi penerbangan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa kembali pulih dan berjalan seperti biasa pada Rabu, kata Pengurus LTSIP Ramzi Ahmad. Operasi di lapangan terbang itu terjejas malam tadi selepas sebuah pesawat syarikat penerbangan AirAsia tergelincir dari landasan menyebabkan tayar pesawat terbenam ke dalam tanah. Akibat kejadian itu, tiga penerbangan dari Kuala Lumpur dan Subang ke Kota Bharu terpaksa dibatalkan penerbangannya malam tadi bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan mengeluarkan tayar pesawat AirAsia itu dilakukan. "Kerja penyelenggaraan itu tamat pada pukul 5.45 pagi tadi dan tiga pesawat yang dibatalkan penerbangannya pada malam tadi menyambung kembali penerbangan mereka pagi ini. "Operasi LTSIP berjalan seperti biasa pagi ini selepas pesawat AirAsia itu berjaya dikeluarkan dari landasan dan ditempatkan di lapangan terbang ini untuk siasatan lanjut Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan AirAsia," katanya ketika dihubungi Bernama di sini. Sebuah pesawat AirAsia yang hendak berlepas dari LTSIP ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), tergelincir dari landasan malam Selasa. Difahamkan, pesawat AK6443 itu membuat pusingan U di hujung landasan sebelum tergelincir, menyebabkan tayar depan dan belakang pesawat itu terbenam ke dalam tanah. Seorang penumpang, Ghani Mohamad, 62, berkata beliau dikejutkan dengan gegaran kuat ketika pesawat itu sedang membuat pusingan U dan bersedia di landasan untuk berlepas ke Kuala Lumpur pada pukul 9.55 malam. "Ketika itu bunyi sangat bising di dalam pesawat dan kami tidak tahu apa yang berlaku pada awalnya sehingga dimaklumkan mengenai kejadian oleh anak kapal kira-kira setengah jam kemudian. "Rasa berdebar juga namun kakitangan pesawat berjaya menenangkan keadaan," katanya ketika ditemui di LTSIP di sini, menunggu penerbangan ke Kuala Lumpur hari ini. - BERNAMA