Beliau berkata logo halal sedia ada yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah memadai malah ia turut mendapat pengiktirafan antarabangsa.
"Pakai saja logo halal sedia ada daripada Jakim," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan program perangi dadah habis-habisan anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), di sini Rabu.
Tajuddin mengulas cadangan Anggota Parlimen Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin supaya kerajaan mewujudkan logo halal khusus untuk produk-produk Muslim yang dikeluarkan oleh usahawan industri kecil dan sederhana Islam.
Dalam perkembangan lain, Tajuddin yang juga Anggota Parlimen Pasir Salak mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula kaedah penguatkuasaan serta pencegahan penyalahgunaan dadah.
Beliau berkata kaedah termasuk program pameran yang dilaksanakan ketika ini dilihat sudah kurang relevan memandangkan jumlah penagih yang terus meningkat.
"Segala kemudahan dan kecanggihan teknologi masa kini harus digunakan bagi mendidik tentang bahaya dadah melalui media baharu selain kaedah konvensional, sekali gus dapat mencapai matlamat kempen untuk memerangi dadah".
Tajuddin turut menegur segelintir ibu bapa yang kurang bekerjasama dengan polis dan AADK jika anak mereka terjebak dengan penyalahgunaan dadah.