BACHOK: Polis menahan empat warga Myanmar bagi membantu siasatan penemuan empat mayat dari negara sama yang ditemukan di kawasan semak dekat Kampung Tanjung Hilir, Bekalam, baru-baru ini. Ketua Polis Kelatan, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, dua suspek ditahan di Kota Bharu manakala dua lagi dicekup di Kuala Lumpur antara pkul 7 petang dan 10 malam Jumaat. Menurut beliau, dua suspek direman selama seminggu manakala bakinya akan diambil tindakan sama tidak lama lagi. Pada Ahad lalu, penduduk di Kampung Tanjung Hilir digemparkan dengan penemuan empat mayat bergelimpangan di kawasan semak. Kesemua mayat itu dipercayai telah mati selama tiga hari. Abdul Rahman berkata, empat suspek kes itu yang berusia dalam lingkungan 20-an, ditahan dengan bantuan polis dari Bukit Aman. - BERNAMA