suria

10 Keluarga PGA Hilang Tempat Tinggal Akibat Kebakaran

SIBU: Tujuh keluarga anggota Batalion ke-10 Pasukan Gerakan Am hilang tempat tinggal apabila berek yang diduduki mereka di Kem Lanang di sini musnah dalam kebakaran awal pagi Sabtu.

Sembilan daripada 10 unit rumah berek kayu Blok 27 itu musnah dalam kejadian yang bermula kira-kira pukul 6 pagi.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Saiful Bahri Abdullah berkata kejadian itu berlaku semasa kebanyakan penghuni sedang nyenyak tidur namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Empat buah kereta dan sebuah motosikal milik anggota pasukan itu musnah dijilat api, katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurut penolong pegawai pemerintah BN10 DSP Lim Kwai Seng, semua penghuni yang terjejas akibat kejadian itu akan ditempatkan sementara di rumah Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kem Lanang, kuarters pegawai dan berek yang tidak digunakan.

Katanya, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut mengenai punca kebakaran.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Sibu menerima panggilan kecemasan pada 6.19 pagi dan menghantar tiga jentera dengan 22 anggota ke tempat kejadian.

Komander Operasi, Timbalan Penguasa Bomba Abdul Mutalif Jaafar berkata, kebakaran terkawal sepenuhnya pada 7.27 pagi.

Anggota Dewan Undangan Negeri Dudong Datuk Tiong Thai King turut melawat mangsa kejadian itu. - BERNAMA

Kebakaran PGA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain