suria

Bersatu Tentang Campur Tangan Asing - Salleh Keruak

KOTA BELUD: Rakyat Malaysia perlu bersatu padu menentang campur tangan asing yang cuba mencampuri urusan untuk menentukan kepimpinan negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata walaupun berlainan pendapat, rakyat Malaysia tidak boleh membenarkan mana-mana pihak asing mencampuri politik negara.

"Kita harus bersatu padu dan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan. Walaupun ada perbezaan pendapat di kalangan rakyat, namun kita mempunyai proses pilihan raya dan rakyat Malaysia yang akan menentukan parti mana yang harus memerintah," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Konvokesyen Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Daerah Kota Belud, di sini Sabtu.

Mengulas lanjut Salleh berkata campur tangan asing itu perlu ditentang habis-habisan kerana ia hanya menjejaskan perpaduan rakyat di Malaysia.

"Matlamat mereka (campur tangan asing) sangat jelas...mereka hanya menginginkan kerajaan yang mengikut telunjuk dan arahan, agar kerajaan kita selari dengan ideologi politik mereka," katanya.

Baru-baru ini, DC Leak mendakwa Open Society Foundation (OSF) yang dimiliki  jutawan George Soros menyalurkan dana kepada pertubuhan awam tempatan termasuk Bersih, C4 Malaysia, Pusat Kesedaran Komuniti (Empower), Penang Institute, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Jawatankuasa Pilihan Raya Bebas (Comfrel).

Ia mendakwa OSF turut berusaha mempengaruhi pilihan raya negara ini menerusi program pergerakan pengundi mobiliti. 

Dalam perkembangan lain, Salleh menyarankan agar Kemas membuat penambahbaikan modul pembelajaran, termasuk kegiatan atau program yang dikendalikan jabatan berkenaan dari semasa ke semasa. 

"Ia selaras dengan perkembangan semasa dalam sebuah negara yang pesat membangun seperti Malaysia. Perkara itu penting bagi memastikan anak-anak kita di peringkat pendidikan awal mendapat pendedahan perkembangan terkini," katanya. - BERNAMA

Salleh Keruak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain