KANGAR: Peserta misi Women's Boat To Gaza (WBTG), Dr Fauziah Mohd Hasan berkata wanita Malaysia patut mencontohi kegigihan wanita Palestin yang tidak pernah mengenal erti putus asa dalam mencari kesempurnaan hidup. Katanya walaupun berdepan pelbagai kesukaran, penderitaan dan serba kekurangan, wanita Palestin tidak pernah kecewa atau berputus asa mendidik anak-anak mereka walaupun terpaksa belajar di sekolah yang serba daif. "Berkat kesabaran mereka mengharungi peperangan dengan Yahudi, ramai anak-anak muda Palestin menjadi insan berilmu dan terpelajar," katanya kepada Bernama selepas Sesi Perkongsian WBTG di Masjid Alwi di sini, Ahad. Dr Fauziah dan suaminya Prof Dr Alauddin Mohd Ali serta seorang lagi anggota WBTG Norsham Abu Bakar menjadi panel program tersebut anjuran bersama Rose 2 Rose, WBTG, MyCare, Aqsa Syarif, Ikram, Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs), Majlis Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Masjid Alwi. Pengarah JAIPs Dr Hazman Hassan merasmikan program itu yang berlangsung hampir dua jam. Pada program itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor menyampaikan cek bernilai RM10,000 kepada Dr Fauziah yang juga pemegang amanah Tabung Bantuan Gaza MyCare (MyCare). Beberapa sekolah dan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan turut menyampaikan sumbangan kepada tabung itu. Dr Fauziah berkata setelah dua kali berjaya memasuki Gaza pada 2012 dan 2014 untuk menyerahkan bantuan kemanusiaan, beliau melihat bagaimana penduduk Palestin di situ khususnya wanita melakukan pelbagai usaha untuk meneruskan kelangsungan hidup. "Di Gaza terdapat kira-kira dua juta penduduk dan mustahil saya dapat melihat semuanya tetapi keperitan hidup mereka akibat kekejaman Israel yang mneyekat jalan keluar masuk sangat menyusahkan kehidupan mereka," katanya. Menurutnya dalam tempoh enam tahun lalu, MyCare menyerahkan sumbangan berjumlah RM75 juta kepada penduduk di Gaza yang digunakan, antaranya, sebagai modal perniagaan, bercucuk tanam dan pendidikan. Dr Fauziah menjadi perhatian rakyat Malaysia khasnya dan dunia umumnya apabila beliau bersama-sama sekumpulan 12 wanita daripada pelbagai negara melakukan misi kemanusiaan WBTG dengan sebuah kapal yang dikendalikan kapten wanita, namun ditahan pihak berkuasa Israel di perairan Mediterranean sebelum sampai di Gaza. Kejadian pada 5 Oktober lepas menyebabkan mereka dipenjarakan satu malam oleh Israel kerana dituduh menceroboh masuk secara tidak sah sebelum dibebaskan dan dihantar pulang ke negara masing-masing. Dr Fauziah, 61, yang mempunyai tiga orang anak dan enam cucu berkata pengalaman yang dirasai termasuk menempuh ombak dan laut bergelora dalam pelayaran itu tidak melemahkan semangatnya untuk terus menyertai misi kemanusiaan ke Gaza di masa depan. "Saya kagum dengan seorang peserta rakyat Ireland Utara yang bukan beragama Islam, tiga kali ditahan oleh Israel sebelum ini namun masih sanggup menghadapi kesusahan hanya untuk memenuhi misi kemanusiaan kepada rakyat Gaza," katanya. Dr Fauziah yang merupakan doktor pakar Obstetrik dan Ginekologi di Hospital KPJ Ampang, Selangor ditugaskan menjaga kesihatan para peserta di dalam kapal. Beliau berkata Malaysia diberi kepercayaan untuk menjadi penganjur misi kemanusiaan ke Gaza seterusnya kerana komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh rakyat negara ini dalam membantu penduduk Palestin. Katanya, satu mesyuarat dijangka disertai wakil negara dari lima benua akan diadakan di Kuala Lumpur pada Mei tahun depan bagi membincangkan misi seterusnya. Menurut Dr Fauziah, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah menyatakan sokongan kerajaan terhadap misi itu. Norsham yang merupakan pemegang amanah MyCare berkata tabung itu mendapat kelulusan Bank Negara untuk membuat kutipan derma bagi rakyat Palestin. -- Bernama