Pengarah Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Mohd Roslan Mahayudin berkata daripada kesemua premis yang diperiksa, pihaknya mengesan 25 kesalahan.
"Antaranya menyorok minyak masak (10 kes), gagal selenggara buku stok (lima), dan menjual tanpa lesen (empat)," katanya kepada Bernama Isnin.
Dalam tempoh sama, 269 aduan diterima dari seluruh negara, dengan 144 daripadanya dapat diselesaikan dan 125 lagi dalam siasatan, kata Mohd Roslan.
Mohd Roslan berkata aduan itu meliputi antara lain ketiadaan bekalan minyak masak dan harga yang tinggi.
Pada 26 Oktober lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan harga minyak masak paket 1kg kekal RM2.50 manakala minyak masak dalam botol dijual mengikut harga pasaran berkuat kuasa 1 November.