suria

Tambah Baik Undang-Undang Sedia Ada Pantau Dana Asing - Azalina

Datuk Seri Azalina Othman Said
KUALA LUMPUR: Beberapa undang-undang sedia ada termasuk  Akta Profesion Undang-Undang 1976 (LPA) perlu ditambah baik bagi memantau kemasukan dana asing ke negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata cadangan pindaan LPA perlu mengambil kira aspek melibatkan penerimaan geran, hadiah, harta atau wang oleh Majlis Peguam.

"Ini bagi memastikan Majlis Peguam mencapai matlamat utama untuk menegakkan keadilan tanpa ada kepentingan peribadi dan campur tangan kuasa luar," katanya  dalam kenyataan media, di sini Isnin.

Anggota Parlimen Pengerang itu turut mencadangkan supaya Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan Peraturan Pertubuhan 1984 dikuatkuasakan kepada pelbagai kategori pertubuhan dengan mengambil kira beberapa perkara.

"Ini termasuk prosedur laporan terhadap sumbangan yang diterima adalah mengikut tadbir urus yang betul, telus dan bertanggungjawab yang mana secara tidak langsung membentuk pembangunan sosial dan masyarakat yang lebih baik di Malaysia," katanya.

Beliau berkata akta yang sama juga harus menyediakan ruang untuk mengawal selia pendaftaran gabungan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Bersih bagi menghalang sebarang penyalahgunaan.

Dalam isu itu, Azalina menyifatkan pendedahan pihak berkaitan berkenaan penerimaan sumbangan daripada Open Society Foundation (OSF) milik hartawan George Soros adalah membimbangkan.

"Ia mungkin tidak salah di sisi undang-undang untuk menerima dana asing kerana buat masa ini tidak ada peraturan atau undang-undang khas berkaitan sumbangan asing," katanya.

Baru-baru ini Majlis Peguam mengakui ia menerima sejumlah RM53,757.12 (US$15,000) daripada OSF yang diasaskan Soros sebagai geran untuk menjalankan kajian penyelidikan mengenai pekerja migran di Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Migran, Pelarian dan Imigresen Majlis Peguam Datuk Seri M. Ramachelvan mendedahkan bahawa pembiayaan itu diterima daripada OSF pada 7 Jan 2015.

Artikel Lain