suria

Dera Anak: Bapa Pilih Bayar Denda RM1,500

JOHOR BARU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun cedera di kepala dan muka dipercayai dipukul bapanya ketika di Jalan Bunga Orked, Majidee Baru di sini.

Selepas kejadian, lelaki berusia 37 tahun itu menghantarnya semula ke rumah bekas isterinya di Taman Bukit Mutiara pada 28 Oktober.

Penderaan yang dilakukan lelaki itu menyebabkan dia dihadapkan ke mahkamah.

Ibu kanak-kanak berkenaan berkata, dia terkejut apabila melihat kesan lebam di telinga dan muka anaknya selepas berada dalam jagaan bekas suaminya sejak Oktober, selepas mereka bercerai pada Mac.

“Saya bertanya kepada bekas suami sama ada dia bertanggungjawab ke atas kecederaan anaknya itu, tetapi dia berkata bahawa kesan lebam itu berlaku kerana anak mereka  terjatuh dari tangga,” jelasnya.

Namun, budak itu menjelaskan bahawa bapanya sendiri memukul dan menamparnya ketika tinggal di Majidee Baru.

“Saya sangat sedih melihat keadaannya dan terus membawa anak saya ke hospital untuk mendapatkan rawatan serta membuat laporan polis,” katanya.

Status yang dimuat naik olehnya di laman Facebook berkenaan insiden itu, menjadi viral di media sosial.

Ketua Polis Daerah Johor Baru Selatan, Assisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata lelaki itu ditangkap pada 31 Oktober di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Dia juga didakwa di Mahkamah Majistret di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan ke atas anaknya itu.

Menurut Sulaiman, pada 3 November, pesalah memilih untuk membayar denda sebanyak RM1,500 selepas di perintah oleh pihak mahkamah untuk menjalani penjara lima bulan atau membayar denda. 

Majidee Baru, Sulaiman Salleh

Artikel Berikut

Artikel Lain