suria

Nama Ridzuan Puzi Kekal Abadi Sepanjang Zaman - Bapa

JITRA:"Nama Ridzuan Puzi akan terpahat dan diingati sepanjang zaman dengan penjenamaan semula nama Taman Sinar Harapan ini," kata bapa kepada atlet paralimpik negara, Mohamad Puzi Mat Isa.

Beliau jelas terharu selepas Taman Sinar Harapan di sini, institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memberi penjagaan, perlindungan dan pemulihan kepada Orang Kelainan Upaya (OKU) kategori masalah pembelajaran, dinamakan bersempena nama anaknya.

Menurut Mohamad Puzi, beliau sangat berterima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus memberi penghargaan dari segi wang ringgit dan insentif lain setelah anaknya, Mohamad Ridzuan mengharumkan nama negara apabila menjuarai acara 100 meter T36 (celebral palsy) Sukan Paralimpik Rio.

Namun jelasnya, di sebalik semua kemewahan yang diterima, langkah menamakan semula taman itu kepada nama anaknya merupakan suatu perkara yang sangat menyentuh hatinya dan seisi keluarga mereka kerana pastinya nama Mohamad Ridzuan akan diingati sampai bila-bila.

"Ia akan menjadi pendorong kepada setiap OKU dan ibu bapa mereka bahawa tiada yang mustahil di dunia ini.

"Sekurang-kurangya apabila mereka melihat nama Taman Sinar Harapan ini, pasti ada cerita di sebaliknya yang menjadi kebanggaan kita kenapa ia dinamakan sedemikian," katanya yang hadir bersama isteri, Lailah Salleh, 49, dan anak mereka Nur Syazwani, 17, bagi mewakili Mohamad Ridzuan yang tidak dapat hadir.

Majlis itu disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Pada 27 September lepas, Rohani mengumumkan empat rumah kebajikan Taman Sinar Harapan akan dinamakan dengan nama keempat-empat atlet yang mencatatkan kejayaan di Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil baru-baru ini. -- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain