suria

Jangan Pandang Rendah Kuasa Rakyat - PM Najib

PENAMPANG: Semua pemimpin Barisan Nasional (BN) dan parti komponennya diingatkan supaya tidak leka atau berpuas hati dengan prestasi semasa dan berfikir bahawa kemenangan sentiasa berada dalam tangan mereka, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata mereka sama sekali tidak boleh memandang rendah kuasa rakyat sebagai pengundi dan mereka perlu sentiasa konsisten turun padang bertemu rakyat di peringkat akar umbi bagi menghulurkan bantuan.

"Saya selalu mengingatkan diri saya, jangan lupa kepada rakyat, sebab itu ada sistem demokrasi, kita serah kuasa kepada rakyat. Dalam masa kita tiada pilihan raya, kita mesti menjaga hati rakyat.

"Apa (permintaan) rakyat perlu kita layan dan beri pertimbangan. Jangan tunggu program rasmi sahaja. Kita mesti merasai denyut nadi rakyat dan memberi tumpuan kepada mereka," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Konvensyen Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) di sini, Sabtu.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, Pemangku Presiden Upko Datuk Madius Tangau yang juga Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi serta Presiden Kehormat Upko yang juga Duta Malaysia ke Holy See Tan Sri Bernard Dompok serta pemimpin parti komponen BN.

Najib berkata jika pemimpin BN di semua peringkat memberi komitmen penuh dalam menjalankan tanggungjawab, beliau yakin parti serpihan termasuk parti yang baharu diwujudkan tidak akan mampu menggugat atau mengatasi BN.

"Jika kita membuat kerja dengan betul dan bersungguh-sungguh, Insya-Allah, kita boleh menang dengan kemenangan besar (pada pilihan raya akan datang)," katanya sambil menambah beliau mahu anggota BN terus bersatu padu memperkukuhkan parti.

Mengenai permintaan kerusi daripada parti komponen, Najib berkata BN sentiasa mempertimbangkan permintaan itu, namun, keputusan yang dibuat dalam pembahagian kerusi pilihan raya adalah berdasarkan apa yang terbaik untuk parti.

Beliau berharap pencapaian BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 adalah lebih baik berbanding sebelumnya, dan apa yang lebih penting adalah bukan sahaja dapat membentuk kerajaan tetapi kerajaan dibentuk adalah kerajaan yang kuat.

"... dan kerajaan itu mesti lebih kuat daripada sebelum ini," katanya.

Najib berkata kemenangan BN pada pilihan raya negeri di Sarawak dan pilihan raya kecil di Parlimen Sungai Besar serta Kuala Kangsar membuktikan parti masih kuat, namun, pemimpin dan anggota parti tidak boleh terus berpuas hati dan merasakan kejayaan berada dalam genggaman.

Mengenai pembangunan di Sabah, Najib berkata negeri ini kini dilihat telah mencapai pelbagai kemajuan di bawah kepimpinan serta pentadbiran Musa.

Najib berkata kerajaan Pusat akan terus memberi kerjasama dengan kerajaan negeri Sabah dalam melaksanakan lebih banyak projek pembangunan untuk manfaat rakyat di negeri ini.

Ini termasuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang membabitkan kos RM12 bilion selain program membantu golongan miskin menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan pelbagai program keusahawanan, katanya.

"Semua perlu kita fikir bagaimana membangunkan Sabah dan kita memerlukan kekuatan (rakyat). Saya ingin melihat Sabah maju dan pembangunan Sabah itu mengimbangi apa yang ada di Semenanjung," katanya.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada Upko bagi membantu usaha parti itu mengembangkan bahasa KadazanDusun.-- Bernama

BN, Najib Tun Razak, Upko

Artikel Lain