suria

Guru Tadika Dan Anak Murid Bertemu Semula Selepas 48 Tahun

GEORGE TOWN: Selepas 48 tahun berpisah, pensyarah Ooi Hock Tiam akhirnya bertemu semula dengan guru tadikanya, Goh Lay Khim.

Lay Khim, 68, telah mengajar Hock Tiam, 54, di rumah orang cacat penglihatan, St Nicholas Home, selama beberapa bulan pada tahun 1968.

"Kamu tak banyak berubah! Kalau dilihat lebih dekat, kamu masih sama macam dulu. Tetapi saya telah berumur," kata Lay Khim, ceria.

Apabila diberitahu bahawa Hock Tiam mempunyai Sarjana dalam Sejarah Eropah dan kini mengajar di Universiti Sains Malaysia (USM), air mata Lay Khim terus berlinang.

"Tahniah! Saya amat bangga dengan kamu. Saya gembira mendapat tahu kamu sudah berjaya," katanya, sebelum menepuk -nepuk belakang Hock Tiam.

Beliau juga gembira apabila mendapat tahu bahawa anak didiknya itu kini telah berkahwin dan hidup bahagia bersama isterinya, Wong Kit Yeng. Bagaimanapun Kit Yeng tidak hadir dalam pertemuan, Jumaat.

Setelah memeluk antara satu sama lain, Lay Khim juga memperkenalkan Hock Tiam kepada suaminya Dr Ng Chee Thong, 75, anak lelakinya, Kevin Ng, 41, dan menantunya, Tivien Gan, 37, dalam pertemuan yang diatur di pejabat Hock Tiam di USM.

Hock Tiam sebelum ini telah mencuba pelbagai cara untuk mencari bekas gurunya itu, termasuk menggunakan platform media sosial dan pergi ke St Nicholas Home, tetapi tidak berjaya.

Pencariannya itu telah disiarkan oleh akhbar The Star pada 3 November lalu dan usaha beliau segera membuahkan hasil pada hari berikutnya apabila rakan-rakan memberitahu Lay Khim bahawa bekas pelajarnya sedang mencari beliau.

Beliau segera menghantar e-mel kepada Hock Tiam selepas itu.

Lay Khim yang kini tinggal bersama anak-anaknya di Ara Damansara, Petaling Jaya, meninggalkan St Nicholas Home pada tahun 1968 dan kemudian menjadi jururawat sehingga bersara.

Lay Khim berkata, beliau agak terkejut apabila Hock Tiam masih mengingati dirinya.

"Saya memberi perhatian khusus kepadanya kerana pada masa itu dia sentiasa diam dan tidak mengambil bahagian semasa pengajaran di dalam kelas.

"Saya agak bimbang dia tidak dapat belajar kerana dia tidak faham bahasa Melayu dan Inggeris ketika itu.

"Dia tidak dapat berkomunikasi secara bebas kerana hanya faham bahasa Hokkien," kata Lay Khim, yang membawa bersama brownie coklat untuk anak didiknya itu semasa pertemuan mereka.

Hock Tiam juga membeli coklat dan biskut untuk cucu Lay Khim, Krysta Yee, yang tinggal di Singapura.

Kanak-kanak berusia 10 tahun itu, yang tidak dapat hadir sama sangat teruja dengan kisah neneknya yang dibaca dalam talian.

Selepas pertemuan di USM, mereka berkunjung ke St Nicholas Home di Jalan Bagan Jermal, di mana kedua-dua mereka sempat mengimbas kenangan lalu.

Mereka juga bertemu Catherine Cheong, penolong kanan di rumah itu pada tahun 1968.

Di bilik darjah di mana Hock Tiam pernah belajar pada tahun 1968, yang telah bertukar menjadi asrama lelaki, Lay Khim berkata: "Saya masih ingat murid-murid pernah beratur di sini sebelum dibawa ke ruang makan.


"Terima kasih The Star kerana menemukan kami selepas bertahun-tahun lamanya."

Artikel Sebelum

Artikel Lain