PUTRAJAYA: Dua wanita warga Indonesia yang menjadi ejen kepada sindiket pengeluaran kad pengenalan palsu di Sandakan, Sabah, serta lima yang dipercayai menggunakannya ditahan pihak berkuasa Sabtu malam. Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Mohd Yazid Ramli berkata operasi khas yang dijalankan JPN bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu diadakan bagi menahan dalang dan ejen yang disyaki terlibat dalam aktiviti berkenaan di sekitar daerah tersebut. "Hasil risikan, kedua-dua wanita yang masing-masing berumur 25 dan 48 tahun dipercayai aktif menjadi ejen mencari pelanggan atau warga asing yang berminat mendapatkan kad pengenalan palsu untuk digunakan sebagai pengenalan diri dengan bayaran sebanyak RM6,000," katanya dalam kenyataan, Sabtu. Malah katanya kedua-dua mereka turut didapati menggunakan kad pengenalan palsu sebagai pengenalan diri mereka. Mohd Yazid berkata pemeriksaan terperinci di kediaman dua wanita tersebut telah membongkar kegiatan mereka berikutan penemuan pelbagai dokumen meragukan termasuk gambar individu serta salinan kad pengenalan yang telah dipalsukan. Selain itu, kata Mohd Yazid, beberapa sijil kelahiran milik individu yang tidak dikenali serta dua komputer riba yang disyaki digunakan dalam aktiviti pemalsuan kad pengenalan tersebut turut ditemui di lokasi sama. Katanya JPN bersama PDRM juga telah menyita sebuah kereta Perodua Myvi milik seorang daripada wanita tersebut yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pemalsuan kad pengenalan. Beliau berkata, tiga lelaki dan dua wanita berumur antara 23 dan 57 tahun yang tinggal di premis sama, yang menggunakan kad pengenalan palsu sebagai pengenalan diri turut ditahan kerana disyaki memperolehnya daripada kedua-dua wanita tersebut. "Hasil siasatan ke atas kesemua tujuh orang yang ditahan mendapati kesemua mereka mengaku berasal dari Bone, Sulawesi Selatan, Indonesia," katanya. Mohd Yazid berkata kedua-dua wanita yang disyaki sebagai ejen itu disiasat mengikut Peraturan 25 (1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007). "Lima orang lagi disiasat mengikut peraturan yang sama kerana menggunakan kad pengenalan palsu sebagai pengenalan diri yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau denda tidak lebih daripada RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya. Selain rampasan kad pengenalan palsu yang digunakan, katanya, JPN juga berjaya mengesan lesen memandu yang turut dipalsukan serta beberapa kad ATM dan buku akaun bank. Beliau menegaskan JPN akan terus melakukan risikan serta pemantauan bagi mengesan ejen serta sindiket pengeluaran kad pengeluaran palsu bagi melumpuhkan aktiviti mereka bagi mengatasi kes penggunaan kad pengenalan palsu dalam kalangan warga asing di negara ini. --Bernama