MIRI: Seorang lelaki berusia 22 tahun yang ketagih menghidu gam mengamuk sehingga mencederakan tiga saudaranya selepas menyerang mereka dengan parang di Kampung Belangsat Lawas, Limbang pada 12.40 tengah hari Sabtu. Ketua Polis Lawas Deputi Superitendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata motif serangan itu dipercayai kerana saudara-maranya itu asyik berleter mengenai ketagihan suspek menghidu gam. "Mangsa yang cedera parah dipercayai bapa saudara suspek berumur 48 tahun dan masih tidak sedarkan diri di Hospital Lawas," katanya ketika dihubungi Bernama. Abang Zainal Abidin berkata bapa saudara suspek mengalami kecederaan serius di kepala dan leher selepas ditetak dengan parang. Beliau berkata dua lagi mangsa, kedua-duanya lelaki, merupakan sepupu kepada suspek dan menerima rawatan pesakit luar di hospital yang sama. "Kejadian berlaku di rumah bapa saudaranya dan suspek kemudian melarikan diri ke hutan berhampiran selepas insiden itu," katanya. Beliau berkata pasukan mencari berjaya menangkap suspek pada 2.15 petang semasa menyembunyikan diri di dalam hutan itu. "Dia ditahan dan dibawa ke Balai Polis Lawas, kami akan memfailkan permohonan reman esok untuk siasatan lanjut," katanya. Abang Zainal Abidin berkata suspek yang tidak bekerja itu disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum 20 tahun penjara, sebat dan denda jika sabit kesalahan.-- Bernama