suria

Murid SJKC Pamer Persembahan Luar Biasa Di Pentas Teater Melayu

KUALA LUMPUR: Persembahan teater di negara ini tidak wajar dikaitkan dengan masyarakat Melayu semata-mata apabila cabang seni itu menunjukkan isyarat bahawa ia semakin dihayati dan difahami kaum lain.

Pelbagai usaha dilakukan kementerian, organisasi atau penggiat seni teater bagi memastikan karya ini terus berkembang dan mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia, tanpa mengira usia, bangsa, budaya atau agama.

Terbaharu, Pertandingan Teater Bahasa Malaysia Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) telah dianjurkan buat pertama kali, menyaksikan penyertaan sembilan  sekolah di Lembah Klang cemerlang mempamerkan bakat berlakon teater, Sabtu lalu.

Bukan sekadar berjaya mempertingkatkan penguasaan bahasa kebangsaan dan pemahaman budaya, pendekatan didik hibur yang digunakan juga mampu melatih murid-murid SRJKC untuk berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan lebih baik dan yakin.

Dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta Pusat Kebudayaan Han Malaysia, pertandingan kali ini memperlihatkan karya agung kesusasteraan klasik China, ‘Hikayat Jelajah Ke Barat’  diadaptasi oleh peserta menjadi sebuah persembahan pentas selama 15 minit.

Ketua Pengarah JKKN Tan Sri Norliza Rofli berkata, usaha dan kreativiti yang ditunjukkan sekolah yang mengambil bahagian  begitu mengagumkan, walaupun ia pertama kali diadakan.

Beliau berkata, peserta diberi tempoh dua bulan untuk berlatih, menggarap skrip dari dari teks tebal Hikayat Jelajah Ke Barat, selain memikirkan konsep persembahan, set dan props.

“Saya lihat pertandingan ini sebagai sesuatu yang penting. Di SRJKC subjek bahasa Melayu mungkin hanya subjek semata-mata, pertuturan harian mereka mungkin bahasa Mandarin atau Inggeris tetapi setidak-tidaknya melalui skrip dan penghayatan teks mereka belajar perkataan bahasa Melayu dan menjadi lebih yakin untuk bertutur.

“Saya sendiri pun terpegun bila dengar skrip yang dihasilkan dengan bahasa yang digunakan amat tinggi, bukan bahasa pasar,” katanya yang ditemui selepas merasmikan majlis penutup dan penyampaian  hadiah Program Teater SRJKC 2016 di DBP pada Sabtu.

Sambil mengharapkan penyertaan lebih banyak sekolah pada masa akan datang, Norliza juga optimis untuk menjadikan program ini sebagai program tahunan.

“Bagi memastikan bakat mereka ini tak terpadam begitu sahaja, saya cadangkan mereka menjelajah ke SRJKC lain supaya ia dapat dicontohi.

“Kita kagum dengan set dan props yang minimalis, tidak banyak kos tetapi memberi fokus kepada penceritaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Padilah Ali berkata, objektif program ini untuk memperkasakan bahasa Melayu dan mengetengahkan bakat di kalangan pelajar SRJKC melalui teater.

Bagaimanapun katanya, DBP akan terus membuat penambahbaikan, bukan sahaja dari segi bilangan penyertaan, tetapi  pemilihan pemenang.

“Dari segi bahasa dan sebutan, memang ada yang bagus, seperti yang ditunjukkan dua murid yang mendapat anugerah pelakon terbaik. 

“Cuma dari segi pelat, kita sedia maklum masih ramai peserta yang mempunyai pelat ketika berbahasa Melayu, kita dapat dengar pelat mereka. Ia situasi sama seperti orang Melayu yang cuba bercakap bahasa lain.

Dalam pertandingan ini, tiga sekolah menerima Anugerah Pasukan Cemerlang iaitu SJKC Cheong Hua, Sabak Bernam; SJKC Batu 11, Cheras dan SJKC Jalan Davidson, di sini dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, sijil penyertaan dan piala iringan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain