KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad seharusnya 'bertaubat' dan bukannya kembali kepada politik, kata Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Aziz. Bercakap kepada pemberita di Parlimen pada Isnin, Dr Mahathir seharusnya menumpukan agama kerana itulah yang lebih baik buatnya. "Saya sudah katakan sebelum ini, beliau lebih baik kembali ke tikar sejadah. Adalah lebih baik untuk beliau berdoa berbanding terlibat dalam politik," katanya. Tambahnya, Dr Mahathir kini menentang perkara-perkara yang dilakukannya semasa menjadi perdana menteri. "Beliau yang menyekat hak royaliti Kelantan dan sekarang beliau berjuang untuk hak-hak ini. Beliau yang meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim di penjara dan sekarang beliau mahu Anwar dibebaskan," katanya. Nik Abduh turut berkata, PAS masih ragu-ragu untuk menyertai pakatan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kerana tidak pasti sejauh mana parti berkenaan serius mengadakan kerjasama bersama PAS. "Saya tidak tahu sekiranya parti ini serius atau tidak. Ada masa mereka serius untuk bergabung dengan PAS, ada masa mereka tidak serius. Jadi, PAS sentiasa berhati-hati terhadap apa juga perkara," katanya. Beliau berkata, PAS tidak akan menyertai Pakatan Harapan dan menambah bahawa parti Islam itu yakin memperoleh kemenangan secara bersendiri. "Kita tak pernah kata (PAS akan kalah). Dr Mahathir yang kata begitu. Kita tak pernah kata kita akan kalah. "Kita yakin akan dapat undi. Kita sentiasa yakin dan terbuka untuk bekerjasama," katanya.