KUALA LUMPUR: Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) melonjak sejak penjenamaan semula Tingkatan Enam pada 2012.
Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan berkata, trend peningkatan PNGK itu dapat dilihat dalam tempoh empat tahun dengan PNGK pada 2012 ialah 2.33 sebelum melonjak kepada 2.54 (2013); 2.62 (2014) dan 2.65 (2015).
"Ini menunjukkan penjenamaan semula Tingkatan Enam telah berjaya meningkatkan kualiti dan pembelajaran," katanya menjawab soalan Budiman Mohd Zohdi (BN-Sungai Besar) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu.
Budiman ingin tahu kesan positif yang dicapai di bawah program penjenamaan semula Tingkatan Enam.
Kamalanathan berkata sijil STPM yang diperoleh pelajar juga diiktiraf oleh Universiti Cambridge, United Kingdom dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yangmemudahkan mereka melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi.