suria

Kerajaan Cadang Pinda Akta Pemberi Pinjam Wang

Noh Omar

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang meminda Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Pindaan) 2011 bagi meningkatkan penguatkuasaan dan pengawalseliaan aktiviti itu.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata cadangan pindaan itu juga bagi membolehkan pihaknya membuat pemantauan secara terus menerusi dalam talian.

"Kita tidak nafikan kita agak ketinggalan dari segi sistem pemantauan terhadap mereka yang dapat lesen (pemberi pinjam wang). Kita nak pinda akta inisupaya kita boleh pantau mereka secara dalam talian untuk mengetahui berapa banyak dia beri pinjam dan berapa faedah dikenakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2017 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Katanya syarikat pinjaman wang berlesen perlu mematuhi syarat ditetapkan dengan tidak mengenakan faedah melebihi 18 peratus.

"Kalau ada mana-mana peminjam wang beri pinjaman lebih 18 peratus, itu bermakna ah long kerana dia tidak ikut syarat-syarat yang ditetapkan," katanya.

Noh, bagaimanapun berkata ketika ini, pemantauan berkala dan pemeriksaan mengejut telah dilaksanakan ke atas premis serta mengawal pengeluaran lesen.

Katanya kementerian turut bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, Polis Diraja Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengawal selia aktiviti syarikat pemberi pinjaman wang.  

"Kita berhubung dengan LHDN untuk memeriksa syarikat-syarikat ini kerana mereka perlu ada sekurang-kurangnya RM2 juta dalam akaun, jadi kita mahu tahu mana mereka dapat RM2 juta ini, takut mereka dapat daripada cara salah,"katanya. -Bernama

Pemberi pinjaman, pinda akta

Artikel Sebelum

Artikel Lain