KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) tidak sama dengan kumpulan Baju Merah, tegas presidennya Datuk Ibrahim Ali. Ibrahim berkata dirinya juga tidak boleh disamakan dengan pemimpin Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos. "Jangan samakan kita (Perkasa) dengan Jamal, saya tak akan letak diri saya ke taraf Jamal. "Dia (Jamal) ni lain, saya pemimpin dengan cara saya sendiri," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, Khamis. Ibrahim mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak yang menyamakan gerakan Baju Merah dengan Perkasa yang sebelum ini turut lantang membantah perhimpunan Bersih diadakan. "Perkasa tak ada buat apa-apa terhadap Bersih. Ada dulu sekali kita uau-uarkan kita nak bantah Bersih sebab tak puas hati tapi kita ikut cara yang betul. "Kita akhirnya tak ganggu Bersih, kita serahkan kepada polis, jadi kita tak sama dengan Jamal," katanya. Ditanya sama ada beliau malu dengan tindakan Jamal yang yang mahu bertembung dengan Bersih dan melakukan provokasi serta ancaman keganasan, Ibrahim berkata tindakan itu tidak ada kaitan dengan Perkasa. "Kenapa nak malukan Perkasa? Kalau orang-orang Islam buat benda tak baik dia malukan Allah ke? "Tak ada kena mengena, ini masalah hak peribadi kita tak boleh nak halang, itu hak dia yang penting penguatkuasaan undang-undang," katanya. Dalam pada itu Ibrahim turut menegaskan sekali lagi kekecewaannya apabila kerajaan menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Katanya ketiadaan akta ini menyebabkan pihal polis tiada instrument yang cepat untuk membendung ancaman keselamatan dalam negara. Beliau bagaimanapun tidak dapat menjamin Bersih tidak akan berlaku jika ISA masih lagi wujud di negara ini. "Saya bercakap sebagai seorang pemimpin kecil yang konsisten dengan pegangan, prinsip saya tak pernah berubah walaupun saya dua kali ditahan ISA, saya tetap menghargainya atas dasar keselamatan dalam negara. "Bila negara hancur, segalanya sudah tak berguna, tiada lagi apa-apa harapan. Banyak implikasinya kepada negara," katanya.