APLIKASI khidmat pesanan popular, WhatsApp telah melancarkan perkhidmatan panggilan video secara berperingkat kepada pengguna iOS dan Android. Walaupun pengguna iOS nampaknya sudah mendapat kemas kini, pilihan panggilan video masih belum tersedia buat sebahagian pengguna Android. Walau bagaimanapun, ketika pengguna menanti kemaskini yang bakal membolehkan panggilan video dibuat, beberapa penipuan (scammer) telah muncul dengan cara yang akan membuatkan pengguna memuatnaik 'software jahat' (malware) pada peranti masing-masing. Penipuan itu dilakukan dengan menghantar 'jemputan' yang dibaca, 'anda dijemput untuk mencuba ciri panggilan video Whatsapp' dan meminta anda untuk klik pada pautan yang diberikan untuk mengaktifkannya. Pautan ini akan membawa anda ke sebuah laman web yang sangat mencurigakan dengan URL 'whatappvideooline.com' (perhatikan ejaan salah WhatsApp). Dengan meng'klik' pada link di situ, ia akan memuatnaik 'malware' pada telefon pintar anda yang kemudian meminta anda untuk menghantar jemputan kepada lebih empat rakan, sekali gus akan menyebarkan malware kepada lebih ramai orang. Jika anda sedang menunggu untuk panggilan video aplikasi ini dapat digunakan di telefon pintar anda, hanya tunggu untuk kemas kini rasmi dari Google Play. Jika anda ingin membuat kemas kini secara manual dalam Google Play, pastikan anda melakukannya dari aplikasi WhatsApp, Inc.