suria

Tun M Amal Politik Kebencian - Annuar

Tan Sri Annuar Musa
BATU PAHAT: Pendekatan politik dibawa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akhir-akhir ini bersifatkan politik 'kebencian', kata Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata ini kerana Dr Mahathir kerap menggunakan perkataan kurang elok dan mengeluarkan kenyataan yang memperlekehkan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selain itu, katanya dakwaan bekas perdana menteri bahawa kerajaan sudah tidak lagi berkemampuan membayar hutang negara adalah tidak benar berikutan kemampuan negara dalam membayar hutang diberikan rating 'A+' oleh Standard and Poor (S and P) yang diiktiraf oleh dunia.

"Ini bermakna negara kita diurus dengan baik," katanya kepada pemberita selepas program 'Ngeteh' dan Bicara isu Semasa Bajet Rakyat di sini, malam Rabu.

Turut hadir anggota Majlis Tertinggi Umno merangkap Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi.

Katanya selain menggunakan pendekatan politik kebencian, Dr Mahathir juga didapati mempunyai sikap yang tidak konsisten dalam prinsipnya berhubung budaya demontrasi seperti dilakukan kumpulan perhimpunan haram Bersih.

Annuar berkata sewaktu menjadi perdana menteri, Dr Mahathir dengan keras menolak kemasukan budaya demontrasi kerana mengganggap negara ini bukanlah sebuah negara pendemontrasi dan selain bertentangan dengan budaya Islam.

"Tetapi tengok sekarang ini, Dr Mahathir membelakangkan semua ini kerana 'amarah' (marah).

"Saya fikir dalam kehidupan kita, semua ada kekecewaan dan dalam hidup ada zaman naik dan turun tetapi kita tidak seharusnya melakukan sesuatu yang merosakkan kepentingan ramai, lebih-lebih lagi melibatkan soal keselamatan, keamanan dan kesejahteraan," katanya.

Perhimpunan Bersih 5.0 dijadual Sabtu ini di ibu negara.

Artikel Sebelum

Artikel Lain