suria

Seorang Pemandu Maut, Tujuh Penumpang Cedera Bas Rempuh Treler

IPOH: Seorang pemandu bas maut manakala tujuh penumpang cedera ringan apabila kenderaan itu merempuh belakang sebuah treler di KM383.2 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan berhampiran Hentian Sebelah Behrang dekat sini, Khamis.

Mangsa Nurul Yatimi Mohamed Noor, 25, meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Slim River sementara empat penumpang perempuan dan tiga lelaki yang cedera ringan dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Slim River Mohd Rosli Ibrahim berkata insiden kira-kira 2.51 pagi itu dipercayai berlaku ketika bas konsortium yang membawa 27 penumpang dalam perjalanan dari Hatyai, Thailand ke Johor Bahru.


"Pemandu bas yang tersepit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak hospital manakala pemandu kedua Mohd Rokdi Ahmad, 46, serta 20 lagi penumpang tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Katanya, 20 penumpang yang terselamat itu dibawa ke Johor Bahru dengan menaiki bas lain.

Mohd Rosli berkata seramai enam anggota bomba dengan bantuan anggota polis serta orang awam mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

kemalangan, bas, treler

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain