GOPENG: Umno Perak tidak pernah mengeluarkan arahansupaya setiap bahagian menghantar anggota untuk menyertai perhimpunan Baju Merahdi ibu negara pada Sabtu, tegas Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. Zambry, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, berkata pihaknyasama sekali tidak terlibat dalam perhimpunan itu, malah tidak pernah berbincang mengenainya sama ada di peringkat negeri atau bahagian. "Saya sendiri tidak tahu daripada mana datangnya maklumat yang mengatakankita (Umno Perak) terlibat sama dalam perhimpunan Baju Merah," katanya kepada pemberita selepas program Jelajah Penerangan Bersama Pemimpin Akar Umbi Perak di sini, Sabtu. Zambry mengulas berita yang diviral kononnya Setiausaha Perhubungan Umno negeri Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie mengeluarkan arahan menyatakan imbuhan, makanan dan kemudahan pengangkutan disediakan kepada setiap anggota Umno Perak sekiranya berminat menyertai perhimpunan itu. Sementara itu, Ahmad Shalimin berkata beliau langsung tidak mengetahui tentang arahan berkenaan, tetapi percaya ia sengaja dilakukan pihak tertentu dengan tujuan mencemarkan imejnya. "Arahan yang dikeluarkan itu tidak dijelaskan dengan lanjut dan secara tiba-tiba gunakan nama saya. Ia tidak masuk akal dan tiada sebarang kewajaran untuk saya melakukan tindakan sedemikian," katanya.-Bernama