suria

Koperal Polis Tumbuk, Tampar Isteri Didenda RM1,000

KUALA LUMPUR: Perbuatan suami mencederakan isteri tidak boleh dipandang remeh kerana ia boleh membawa tragedi, kata hakim Mahkamah Tinggi di sini semasa mendengar rayuan kes seorang anggota polis yang mencederakan isterinya.

Hakim Datuk Azman Abdullah berkata suami juga tidak seharusnya mengambil tindakan di tangan sendiri dalam menangani sebarang permasalahan  dengan isteri.

"Ramai yang berakhir dengan isteri mati dan sebagainya. Itu sudah terlambat...apakah langkah bagi memastikan awak tidak mengulangi perbuatan ini.

"Awak kerja polis, (karakter) kerja dengan karakter di rumah ini berlainan.

"Mahkamah meneliti faktor utama iaitu kamu masih lagi berumahtangga dengan isteri dan mempunyai anak. Mahkamah membenarkan hukuman penjara diketepikan dan menjatuhi hukuman denda RM1,000 atau sebulan penjara," kata hakim itu.

Beliau berkata demikian dalam penghakimannya ketika menjatuhkan hukuman terhadap Koperal Mohd Hafizam Ahmad, 31, yang mencederakan isterinya, Mutiary Binawati Mohd Sharif, 38, seorang kakitangan awam pada Jun tahun lepas.

Hakim Azman membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Mohd Hafizam untuk mengetepikan hukuman penjara sembilan hari yang dijatuhi Mahkamah Majistret Putrajaya sebelum ini.

Bapa dua anak itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Blok D9, Kompleks D, Pusat Pentadbiran Kerajaan, Putrajaya, di sini pada 10.10 malam, 16 Jun 2015.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah menumbuk perut dan menampar pipi isterinya ketika mereka berada di dalam kereta.

Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Izzat Fauzan mewakili pendakwaan  manakala peguam A. Kailashii Vasudevan bertindak bagi pihak tertuduh. - BERNAMA

Tmbuk Isteri

Artikel Lain