suria

Tiada Pegawai Kementerian Pendidikan Jual Soalan SPM

TAIPING: Tiada pegawai Kementerian Pendidikan yang terlibat dengan sindiket menjual soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 berdasarkan hasil siasatan awal polis.

Timbalan menterinya Datuk Chong Sin Woon berkata satu lagi laporan polis telah dibuat baru-baru ini untuk membolehkan siasatan terperinci dijalankan berhubung dakwaan itu.

"Untuk laporan kedua ini, pihak kementerian masih menunggu laporan hasil siasatan polis," katanya kepada pemberita selepas Hari Terbuka bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hua Lian 2 di Aulong dekat sini Isnin.

Pada 13 November lalu, sebuah akhbar berbahasa Cina melaporkan sindiket itu didalangi pegawai tinggi Kementerian Pendidikan.

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata setakat ini, tiada sindiket seperti yang didakwa akhbar tersebut.

Mengenai bangunan baharu sekolah itu, Chong berkata ia dibina mulai 2014 dengan kos RM8 juta dan dijangka dapat digunakan pada tahun depan.

Katanya daripada jumlah itu, kementerian telah memberikan peruntukan sebanyak RM870,000, manakala bakinya disumbangkan oleh syarikat dan orang perseorangan.

"Pembinaan bangunan itu menggunakan konsep yang mengutamakan persekitaran hijau dengan bumbung rata dan membolehkan pancaran cahaya matahari," katanya.

Ketika ini, 500 murid di sekolah itu berkongsi tempat dengan SJKC Hua Lian 1. - BERNAMA

SPM, Kementerian Pendidikan

Artikel Berikut

Artikel Lain