suria

Kumpulan Wanita Berarak Ke Parlimen Tuntut Maria Dibebaskan

KUALA LUMPUR: Sekumpulan penunjuk perasaan yang berarak menuju ke Parlimen bagi menuntut pembebasan Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Maria Chin Abdullah dihalang daripada memasuki bangunan itu.

Mereka mula berarak dari Padang Merbok kira-kira pukul 10.30 pagi Rabu.

Para peserta yang mewakili pelbagai pertubuhan hak wanita dihalang sekatan polis di atas jambatan dekat Jalan Parlimen menuju ke pondok pengawal Parlimen.

Mereka mahu menyerahkan petisyen kepada Perdana Menteri atau menteri berkaitan untuk membebaskan Maria yang ditahan dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Maria ditahan bersama beberapa pemimpin pembangkang dan aktivis pada 18 November dalam satu serbuan polis di pejabat Bersih sebelum perhimpunan haram, Sabtu lalu.

Dia kini ditahan dalam tempoh maksimum 28 hari di balai polis Dang Wangi Kuala Lumpur.

Terdahulu, adik Maria, Cynthia Chin berkata keluarga mereka terkejut dan kecewa dengan penahanannya.

"Kakak saya bukan pengganas. Dia tidak layak ditahan dengan cara sebegitu," katanya.

Antara yang turut menyertai kumpulan itu adalah bekas pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Hannah Yeoh.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain