KUALA LUMPUR: Seramai 45 sukarelawan MyCorps bakal menyertai Program Mycorps@Timur Tengah selama dua bulan, berakhir Januari 2017. Program Penempatan Antarabangsa MyCorps melibatkan komuniti antarabangsa yang memerlukan bantuan dan khidmat sokongan dalam konteks pembangunan komuniti, sosial dan ekonomi. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, penempatan MyCorps di pelbagai negara selepas pelaksanaannya di Kemboja pada 2015 dan kini pihaknya mengambil inisiatif merancang program di Timur Tengah. "Dalam tempoh dua minggu permohonan untuk program ini dibuka, kita telah menerima 1,110 borang dan memanggil 453 pemohon untuk ditemuduga. "Daripada jumlah itu, hanya 45 terpilih menjalani latihan intensif selama 21 hari sebagai persediaan untuk menjadikan peserta MyCorps sukarelawan berkemahiran, berpengetahuan dan bersemangat tinggi ketika memberi khidmat dalam menjayakan misi tersebut," katanya ketika berucap pada sesi Meet & Greet bersama peserta Myacorps@Timur Tengah pada Rabu. Tambah Khairy, sukarelawan yang terpilih ini mempunyai latar belakang kemahiran dalam pelbagai bidang. "Mereka ini sanggup menerima risiko yang kita sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku di sana. "Malah mereka juga sanggup berkorban meninggalkan kerjaya, keluarga dan kawan-kawan demi tugas kemanusiaan ini. "Saya harap dalam tempoh dua hingga tiga bulan nanti, mereka berjaya mencapai misi dan akan kembali sebagai seorang yang lebih baik," katanya. Peserta Program MyCorps akan berlepas secara berperingkat ke negara Timur Tengah termasuk Turki, Jordan dan Lubnan. Seramai 17 lelaki dan 28 perempuan yang terpilih bagi misi kemanusiaan MyCorps yang kelima sejak ia dilancarkan tahun lalu.