suria

Bayi Dengan Otak Di Luar Kepala Meninggal Dunia

Muhammad Fakhrullah Firdaus
ALOR SETAR: Bayi berusia tujuh bulan yang mempunyai masalah otak di luar tempurung kepala meninggal dunia malam tadi selepas empat hari bertarung nyawa di wad kanak-kanak Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Muhammad Fakhrullah Firdaus menghembuskan nafas terakhir di sisi ibunya, Hasida Ahmad, 35, kira-kira pukul 11.20 malam selepas dimasukan ke wad kecemasan kira-kira pukul 4 pagi, Sabtu lepas akibat sawan.

Cecair otak di luar tempurung kepalanya mengalir keluar dan degupan jantungnya juga mulai tidak stabil keesokannya sehingga berhenti beberapa kali," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Flat Simpang Kuala, di sini, Rabu.

Hasida berkata sebelum diserang sawan, Fakhrullah, anak bongsu daripada tiga  beradik itu, sering muntah-muntah ketika makan dan keadaannya lemah berikutan kekurangan garam dalam badan.

Menurutnya Fakhrullah adalah anak istimewa dalam keluarga kerana sering tersenyum dan tidak merengek seperti bayi lain walaupun keadaannya sebegitu.

Kami reda dan telah bersedia menghadapi kemungkinan ini kerana sebelum ini doktor pakar saraf otak di HSB pernah memaklumkan Fakhrullah tiada harapan untuk sembuh dan hanya mampu bertahan tiga bulan.

Walaupun ia kehilangan besar buat saya dan keluarga, kami bersyukur kerana Allah pinjamkan anak saya lebih lama hingga usianya tujuh bulan," katanya.

Jenazah Fakhrullah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gunung Keriang, di sini kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Sebelum ini, bayi tersebut menjadi perhatian kerana dilahirkan dengan ketulan sebesar telur ayam atau kira-kira lima sentimeter di belakang kepalanya.

Artikel Lain