suria

Tiong Lai Tinggalkan Kabinet Jika RUU 355 Diluluskan

Datuk Seri Liow Tiong Lai
KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai menegaskan bahawa beliau akan meletak jawatan sebagai menteri jika Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan Rang Undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) dan ia diluluskan di Dewan Rakyat.

"Pendirian saya adalah sama, dan yang lebih penting, saya masih menegaskan bahawa RUU itu tidak seharusnya dibentangkan oleh Hadi.

"RUU Hadi itu tidak seharusnya disokong kerana jika terdapat RUU yang hendak diluluskan di Parlimen, ia perlu dibentangkan oleh kerajaan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, malam Rabu.

Tiong Lai yang juga Menteri Pengangkutan, berkata rang undang-undang kerajaan harus 'terpakai dan mengatasi' RUU Hadi.

Beliau menjelaskan bahawa RUU yang akan dibentangkan Hadi diibaratkan sebagai satu jalan untuk Mahkamah Syariah  melaksanakan hukuman hudud di seluruh negara.

Beliau berkata MCA merasakan RUU tersebut adalah bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, ia tidak boleh dibahas dan diluluskan di Parlimen.

Ditanya sama ada MCA akan menyokong RUU kerajaan untuk memperkasakan Mahkamah Syariah, beliau berkata:

"Jika ada apa-apa keperluan untuk memperkasakan undang-undang Syariah, kami akan menyokong kerana ia boleh diperkasakan melalui RUU kerajaan. Ia tidak boleh dilakukan melalui RUU persendirian.

"Selain itu, kita perlu melihat cadangan itu dan bagaimana kita akan memperkasakannya.

"Jika pemerkasaan itu adalah untuk membolehkan undang-undang hudud dilaksanakan di negara ini, kita tidak akan menyokongnya," tegas beliau.

Tiong Lai berkata sebarang tindakan memperkasakan undang-undang dan Mahkamah Syariah perlu dilakukan dalam semangat Perlembagaan Persekutuan dan tidak bertindih dengan undang-undang sivil dan mahkamah.

Mengenai cadangan pembentukan satu Jawatankuasa Khas Parlimen untuk mengkaji pindaan bagi meningkatkan hukuman bagi Mahkamah Syariah, Tiong Lai berkata MCA tidak berunding mengenai perkara itu.


Beliau berkata parti akan melihat 'kandungannya' terlebih dahulu.

"Saya mahu lihat apa yang perlu dibincangkan terlebih dahulu.

"Jika ia adalah sesuatu yang, walaupun dari awal-awal lagi sangat tidak logik dan tidak menyumbang kepada pembangunan negara, maka apa gunanya berbincang," katanya.


Ditanya sama ada beliau akan bersetuju dengan cadangan hukuman PAS seperti 30 tahun penjara dan 100 sebatan, beliau berkata: "Ini semua 'kalau'. Kita tunggu esok (Khamis)."

Artikel Lain