suria

Curi Duit Tabung Surau, Penganggur Dipenjara Dua Bulan

PETALING JAYA: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, Jumaat, setelah mengaku bersalah cuba mencuri duit tabung sebuah surau Selasa lalu.

Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Saidina Mohd Asri, 18, dan seorang remaja berusia 14 tahun selepas mereka mengaku bersalah bersama-sama cuba mencuri duit tabung Surau Nurul Hidayah, Taman Batu 3, Jalan Berlian, Subang Jaya di sini, pada 2.45 pagi, 22 November lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Saphirra Selamat memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal berbentuk pengajaran namun Muhammad Saidina yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman penjara ringan atas alasan tidak mampu membayar denda tinggi.

Pihak pendakwaan turut mencadangkan ikat jamin RM1,000 terhadap seorang lagi tertuduh yang berusia 14 tahun kerana dia masih di bawah umur dan kes tersebut akan dipindahkan ke Mahkamah Kanak-Kanak.

Mahkamah membenarkan remaja itu diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, mengikut fakta kes, seorang penduduk kampung yang sedang melalui jalan berdekatan surau tersebut telah melihat dua lelaki (kedua-dua tertuduh) sedang menyeluk tabung surau itu berbekalkan sebuah lampu picit.

Beliau kemudian terus meminta bantuan penduduk kampung untuk mengejar kedua-dua tertuduh namun usaha itu gagal.

Beliau juga membuat laporan di balai polis berdekatan sebelum kedua-dua tertuduh ditahan untuk tindakan lanjut. - BERNAMA

kecurian, tabung surau

Artikel Berikut

Artikel Lain