suria

Mekanik Curi Kereta Dipenjara, Disebat

PETALING JAYA: Seorang mekanik dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas dia mengaku salah merompak sebuah kereta di Subang Jaya, Jun lalu.

Lim Kwang Peng, 26, bersama-sama seorang lagi yang telah meninggal dunia dituduh melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan sepucuk pistol ke atas Azizan Ahmad, 53, dan melarikan kereta Volkswagen bernilai RM80,000 milik wanita itu di hadapan rumah mangsa di Jalan USJ 2/5B, Subang Jaya pada 9.45 pagi, 23 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Peguam Esther Tan yang mewakili Lim memohon anak guamnya dikenakan hukuman penjara yang minimum. - BERNAMA

Curi Kereta

Artikel Lain