PETALING JAYA: Kartunis Zunar telah ditahan polis, jelas Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid. "Saya boleh mengesahkan Zulkiflee SM Anwarul Haque@Zunar ditahan di IPD Timur laut, " jelas ACP Mior dalam satu kenyataan pada Sabtu petang. Jelasnya, Zunar ditahan mengikut Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948. “Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan,” tambahnya. Pada Jumaat, sekumpulan 20 hingga 30 orang yang diketuai Pemuda Umno Pulau Pinang, Rafizal Abdul Rahim menyerbu pameran di aras tiga Komtar lebih kurang pukul 2.45 petang. Insiden tersebut berlaku selepas tiga jam Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng merasmikan pameran tersebut. Rafizal meminta Zunar untuk menurunkan poster Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengaibkan di pameran itu, dan ianya dibuat lebih kurang pukul 3.15 petang. Pameran tersebut yang dijadual berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad terpaksa dibatalkan.