HULU SELANGOR: Kesemua 340 penduduk yang terjejas akibat tanah runtuh di Taman Idaman, Serendah di sini telah dipindahkan ke Sekolah Rendah Agama (SRA) Serendah. Ketua Polis Hulu Selangor, Supt R. Supramaniam berkata mereka akan ditempatkan di pusat pemindahan sementara itu sehingga semua proses baik pulih selesai. Katanya pasukan teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membuat penilaiansemula pengaliran air bawah tanah di kawasan itu bagi memastikan tahap keselamatan di situ. "Laporan dari semasa ke semasa akan dikeluarkan untuk makluman semua, harap dapat berikan kerjasama kepada penguat kuasa bagi menjalankan tugas," katanya dalam sidang media di sini, Sabtu. Supramaniam berkata operasi membaik pulih serta memantau keadaan di lokasi kejadian disertai pelbagai agensi antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam dan JKR. Terdahulu, Supramaniam berkata polis mengisytiharkan kawasan tanah runtuh itu sebagai kawasan larangan Zon Merah. -Bernama