PETALING JAYA: Seorang pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak menyangka pemberian saguhati oleh bekas majikannya yang tidak seberapa telah 'bertukar' menjadi sebuah kereta Mercedes. Wan Nazri Ishak, 45, yang berasal dari Pulau Pinang telah memenangi kereta mewah Mercedes Benz C200 melalui pelaburannya dalam Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN), untuk Cabutan Bulanan Oktober. "Untuk makluman, saya baru menyimpan selama dua tahun dan hanya ada RM150 sahaja dalam SSP BSN. "RM150 itu pun adalah saguhati pemberian bekas majikan saya kepada pesara ATM dalam bentuk SSP," katanya kepada pemberita pada Majlis Cabutan SSP BSN November di Wisma BSN di sini, Sabtu. Majlis itu turut diadakan bagi meraikan Wan Nazri dan pemenang Cabutan Remaja Kategori Khas Oktober, Dhipan Raj, 15, yang membawa pulang SSP RM10,000. Penyerahan replika hadiah disampaikan oleh Naib Presiden Kanan dan Ketua Perbendaharaan dan Pelaburan BSN Asaraf Aboo Bakar. Naib Presiden Kanan dan Ketua Perbendaharaan dan Pelaburan BSN Asaraf Aboo Bakar (dua, kiri) menyampaikan replika hadiah kepada pemenang Cabutan Remaja Kategori Khas Oktober, Dhipan Raj (tengah). Pemenang hadiah Cabutan Istimewa Oktober dengan ganjaran RM1 juta bagaimanapun tidak dapat hadir pada majlis ini. Wan Nazri berkata, beliau pada mulanya tidak percaya apabila kakitangan BSN datang ke rumahnya di Taiping, Perak, untuk memaklumkan tentang kemenangannya. "Dari luar pagar beliau beritahu saya menang kereta, saya kata 'mana ada saya menang apa-apa'. Kemudian saya disuruh bercakap dengan seorang pegawai bank, pun saya masih tak percaya. "Bila saya periksa di internet, ada nama saya, masa itu isteri dan anak-anak saya 'ternganga' sekejap, dan hari ini saya di pentas ambil hadiah barulah saya percaya," katanya. Wan Nazri yang hadir bersama isterinya, Shamsiah Mat Saad, 45 dan dua anaknya turut menyifatkan kemenangannya sebagai rezeki berkhidmat dengan ATM. Beliau menasihatkan orang ramai yang belum membuat simpanan SSP BSN supaya segera berbuat demikian memandangkan skim ini begitu unik dan menawarkan ganjaran istimewa. "Kepada yang sudah menyimpan, bersabar, mungkin ada rezeki anda selepas ini. "Saya sendiri akan menambah simpanan, manalah tahu rezeki saya menang RM1 juta untuk Cabutan Istimewa pula," katanya. Sementara itu, Dhipan yang merupakan pelajar Tingkatan 3 Sekolah Menengah Seri Serdang berkata RM10,000 yang dimenanginya amat berguna untuk beliau menyambung pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Katanya, beliau amat berterima kasih kepada ibunya yang menyimpan melalui SSP BSN secara konsisten setiap bulan sebagai persediaan untuk beliau melanjutkan pengajian selepas tamat sekolah menengah. "Ia adalah satu skim yang bagus dan sangat berguna untuk remaja yang mahu belajar di peringkat lebih tinggi," katanya yang bercita-cita menjadi seorang doktor. BSN menyediakan Cabutan Istimewa, Cabutan Bulanan dan Cabutan Remaja (Kategori Khas dan Kategori Biasa) setiap bulan kepada mereka yang melabur dalam SSP BSN. Simpanan minimum RM3,000 layak untuk Cabutan Istimewa yang menawarkan ganjaran RM1 juta setiap bulan, manakala Cabutan Remaja dibuat untuk penyimpan berusia 12 hingga 17 tahun. Mereka yang bertuah dalam Cabutan Bulanan akan menerima hadiah kereta BMW atau Mercedes Benz.