suria

Tanah Runtuh: Kerajaan Selangor Tanggung Kos Pemulihan, 340 Penduduk Dipindahkan

SEORANG penduduk wanita dibantu oleh anggota penyelamat ketika proses pemindahan dilakukan di Taman Idaman susulan kejadian tanah runtuh. - Ihsan China Press

SERENDAH: Kerajaan Selangor sedia menanggung kos awal kerja-kerja pemulihan kawasan yang dilanda kejadian tanah runtuh di Taman Idaman, di sini pada awal pagi Sabtu.

Pengerusi Kemudahan Awam dan Infrastruktur Negeri, Zaidy Abdul Talib berkata, perkara itu telah dibincangkan dengan Menteri Besar Selangor dan barisan Exco.

Jelas beliau, kerajaan negeri akan menampung kos pembaikan yang kini diusahakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor.

"Antara kos yang ditampung termasuk pengalihan aliran air di bawah tanah dan pembinaan benteng penghadang bagi mengelakkan hakisan tanah yang lebih buruk," katanya.

Dalam perkembangan lain, kesemua 340 penduduk yang tinggal dalam lingkungan Zon Merah di Taman Idaman telah dipindahkan ke lokasi selamat.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritenden R. Supramaniam mengesahkan perkara tersebut semasa sidang media pukul 2 petang Sabtu.

"Pasukan teknikal JKR masih menilai kos kerosakan dan pembaikpulihan ekoran kejadian tanah runtuh itu," katanya.

Tanah Runtuh, Serendah, JKR

Artikel Berikut

Artikel Lain