suria

Saya Bersyukur Kerana Masih Hidup - Mangsa Runtuhan

SERENDAH: Satu-satunya mangsa yang cedera dalam kejadian tanah runtuh di Taman Idaman di sini awal pagi Sabtu, Muhammad Fareeze Hanuddin melahirkan rasa bersyukur kerana masih hidup.

Pembantu di pusat gimnasium itu dalam perjalanan pulang menunggang motosikal dari tempat kerjanya di Selayang kira-kira pukul 1 pagi sebelum terjerumus ke dalam runtuhan tanah.

"Saya mengikut jalan yang sama digunakan setiap hari untuk pulang ke rumah.

"Saya tidak dengar sebarang bunyi. Saya tidak rasa atau nampak apa-apa. Tiba-tiba sahaja saya jatuh ke dalam runtuhan itu," kata remaja berusia 21 tahun itu ketika ditemui di pusat penempatan sementara di Sekolah Rendah Agama Serendah.

Muhammad Fareez berkata, motosikalnya terperosok ke dalam runtuhan yang dipenuhi lumpur dan badannya ditimbus tanah, menyebabkan dia pengsa serta-merta.

"Saya langsung tidak tahu apa yang berlaku. Saya hanya merasakan badan semakin lemah dan tidak mampu mendengar sebarang bunyi," katanya.

Namun dia bernasib baik kerana dibantu oleh jirannya yang bertindak pantas menarik mangsa keluar daripada ditimbus tanah.

Muhammad Fareez mengalami keretakan tulang tangan kiri dan dirawat di Hospital Selayang sebelum dibenarkan keluar empat jam kemudian.

Dia turut kehilangan motosikal, dompet dan telefon bimbit dalam kejadian itu.

Ibunya, Nur Azian Abdul Mutallib berkata, dia mendengar jirannya menjerit tentang seseorang tertimbus di dalam tanah runtuh dan terkejut besar apabila mengetahui mangsa merupakan anaknya sendiri.

"Seluruh tubuh saya menjadi sejuk. Saya bersyukur dia selamat. Saya tidak kisah jika rumah atau barang lain musnah, asalkan anak saya selamat," katanya.

Artikel Lain