SUNGAI PETANI: Seorang individu yang dipercayai anggota geng pecah rumah ditembak berdekatan Taman Ria di sini pagi tadi, setelah cuba menyerang anggota polis. Dia kemudiannya dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim. Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata kejadian bermula kira-kira pukul 9 pagi apabila pihak polis terserempak dengan sebuah kereta Proton Waja yang dinaiki empat orang yang dilihat dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah bank dekat kawasan perumahan itu. Mereka bagaimanapun tergesa-gesa beredar selepas ternampak kelibat kereta peronda polis, katanya dalam satu kenyataan. "Berlaku kejadian mengejar kenderaan itu yang berlarutan selama 20 minit, merentasi beberapa taman dan akhirnya sampai ke sebuah kampung di belakang SMK Dato' Bijaya Setia. "Namun jalan kampung yang sempit itu menyukarkan kereta suspek melepaskan diri lalu terlanggar sebuah tiang lampu TNB. "Selepas perlanggaran itu, salah seorang suspek cuba menyerang anggota polis yang mengejar mereka, dengan sebilah parang namun anggota polis terbabit sempat melepaskan tembakan yang mengenai betis kiri suspek," kata Md Zukir. Beliau berkata tiga lagi rakan suspek berjaya diberkas kemudiannya dengan bantuan anggota polis lain yang turut berada dilokasi tersebut. "Manakala pada pukul 12.30 tengah hari tadi, seorang lagi lelaki ditahan di Taman Seri Angsana, menjadikan keseluruhannya lima suspek berusia antara awal 30-an dan 40-an berjaya ditangkap. "Pihak polis turut merampas pelbagai jenis peralatan dipercayai digunakan untuk aktiviti pecah rumah yang disimpan di dalam kereta suspek," katanya. Seorang suspek turut cedera pada hidung akibat kereta mereka melanggar tiang lampu.-- Bernama