KUCHING: Pemimpin masyarakat perlu sentiasa berhubung dengan wakil rakyat kawasan masing-masing untuk membincang sebarang isu yang berbangkit dan bukan dibawa ke pihak media atau disebar menerusi media sosial. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, tindakan menyebarkan masalah itu di facebook dan twitter hanya akan mengundang parti pembangkang memperbesarkan isu berkenaan untuk kepentingan politik mereka. Ahli Parlimen kawasan Batang Lupar itu mengulas kenyataan seorang ketua kampung tentang tindakan kontraktor yang menghentikan projek pembinaan sebuah sekolah baru-baru ini. Rohani berkata demikian ketika merasmikan Seminar Kepimpinan Transformasi Ketua-Ketua Masyarakat Parlimen Batang Lupar di sebuah pusat peranginan di Damai, dekat sini, Ahad. Oleh sebab itulah, katanya, seminar berkenaan diadakan agar ketua-ketua masyarakat dari kawasan pilihan raya beliau dapat membawa pelbagai isu dari kawasan masing-masing untuk dibincang dan diselesaikan. Beliau turut menyentuh ciri-ciri seorang pemimpin masyarakat yang baik, iaitu seorang yang cerdas, bukan sahaja cergas fizikal tetapi juga cepat bertindak menyelesaikan sesuatu isu. Katanya, seorang pemimpin juga harus mempunyai inisiatif, bertanggungjawab, jujur, amanah, rela berkorban, dicintai dan mencintai kelompoknya dengan meletakkan rakyat sebagai keutamaan. Beliau meminta ketua-ketua masyarakat memberi nasihat kepada masyarakatnya tentang keburukan dan bahaya pengambilan dadah. Rohani turut melahirkan kebimbangan beliau terhadap isu rogol, khususnya perbuatan bapa merogol anak kandungnya sendiri yang agak kerap berlaku. -Bernama