suria

Najib -Trump Komited Kukuh Hubungan Malaysia-AS

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump komited untuk mengukuhkan hubungan di antara kedua-dua negara.

Najib  berkata demikian selepas perbualan pertamanya dengan calon Republikan yang meraih kejayaan pada 8 November lalu.

Di laman Facebook miliknya, Najib berkata, beliau sangat gembira apabila kembali berhubung dengan lelaki yang pernah bermain golf dengannya itu.

"Awal hari ini kami berbual menerusi telefon dalam keadaan tenang dan produktif. Selain berbincang perkara lain, kami berbual mengenai perkembangan ekonomi di Amerika Syarikat dan Malaysia," tulis Najib.

Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah di atas kemenangan Trump dan kedua-duanya bersetuju untuk terus mengukuhkan kedudukan AS-Malaysia.

Dalam temubual ekslusif bersama Kumpulan Media Star, Najib mengimbas kembali kenangan ketika bermain golf bersama Trump di di National Golf Club, New York beberapa tahun sebelum ini.

Ketika itu Najib dan delegasi negara tiba di New York bagi menyertai United Nations General Assembly dan beberapa orang daripada kumpulan ini termasuk duta ke AS ketika itu, Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis mengambil keputusan untuk bermain golf di kelab milik Trump.

Dan apabila Trump mendengar ada tetamu dari Malaysia, dia bersetuju untuk turut bermain bermain golf bersama.

"Jadi, saya dan dia  berpasangan dan kami menang. Kami turut bergambar bersama termasuk JJ (Jamaluddin Jarjis) dan di atas beberapa sebab, saya meletakkan foto itu di atas meja kerja di pejabat.

"Saya mengenalinya sebelum dia menjadi terkenal seperti hari ini," imbas Najib sambil menambah Trump turut menandatangani foto itu dengan ayat, "To my favourite Prime Minister. Great win!”

Perbualan di telefon ini merupakan kali pertama sejak Trump secara rasminya terlibat dengan pilihanraya AS 2016.

Calon parti Republikan itu mengatasi saingan terdekatnya dari parti Demokrasi  Hillary Clinton, dengan kelebihan lebih daripada 70 undi, menang di negeri-negeri utama seperti Ohio, Florida, dan Pennsylvania.

Najib Tun Razak, Donald Trump

Artikel Berikut

Artikel Lain