suria

"Kami Nak Balik Rumah"

HULU SELANGOR: Ia kelihatan seperti tapak perkelahan atau perkhemahan yang aneh.

Bilik darjah Sekolah Rendah Agama Serendah dipenuhi dengan khemah biru segi empat tepat.

Buat masa ini khemah dan ruang bilik darjah itu menjadi rumah kepada 25 keluarga dari Taman Idaman yang terpaksa meninggalkan kediaman mereka selepas kejadian tanah runtuh pada Sabtu lalu.

Hidup mereka kini berbeza dengan orang lain.

Mereka tidur di atas tilam dan tidak ada televisyen atau radio.

Mereka juga perlu berkongsi tandas yang tidak mempunyai ruang mandi.

Tempat untuk mencuci pakaian juga tidak ada.



Sesetengah keluarga yang bernasib mula berpindah ke rumah saudara-mara dan rakan.

Namun masih terdapat 128 mangsa memilih untuk kekal berada di pusat penempatan sementara itu.

Mereka banyak menghabiskan masa berbual dengan rakan, jiran dan ahli keluarga.

Sesetengah daripada mereka bergantung kepada telefon dan komputer riba untuk mendapatkan hiburan.

Di situ mereka diberi makanan dan keperluan asas yang lain seperti selimut dan bantal.

Walaupun bimbang mengenai kemungkinan hilang tempat tinggal jika 64 buah rumah yang terjejas diklasifikasikan sebagai tidak selamat diduduki, mereka kelihatan santai dan tenang.

Seorang suri rumah, Sharimah Rahman kelihatan tenang dan masih tersenyum apabila ditanya mengenai bagaimana beliau dan keluarganya menghadapi situasi berkenaan.

"Kami semua OK. Kami selesa. Mereka telah menyediakan segala keperluan asas yang kita perlukan.

"Tetapi kami berharap boleh balik ke rumah tidak lama lagi," kata ibu kepada tujuh orang anak itu.

Sharimah, 47, berkata beliau tinggal di Taman Idaman bersama suaminya, Mohd Kodus Mohd Rafi, 50 dan anak-anak mereka sejak 15 tahun lalu.

Bagi seorang lagi penduduk, Mohd Ramlan Mohd Amir, 51, beliau menyifatkan adalah sesuatu yang "tidak masuk akal" untuk beliau berpindah dari kawasan itu.

"Semua yang saya lalukan dan seluruh hidup saya ada di sini.

"Saya takut ianya mungkin berakhir," kata Mohd Ramlan, yang tinggal di sana selama 26 tahun.

Bapa kepada tujuh orang anak itu berkata walaupun beliau menghargai tawaran kerajaan untuk membantu menyediakan penempatan semula jika perlu, beliau berharap perkara itu tidak berlaku.

"Saya harap mereka boleh menyelesaikan masalah ini dan biarlah kami pulang ke rumah sendiri tidak lama lagi," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain