suria

Ulat Tiket Punca Tiket Tren Ke Singapura Mahal

JOHOR BARU: Sindiket 'ulat tiket' dikesan mengaut keuntungan besar daripada rakyat Malaysia yang menaiki kereta api untuk bekerja di Singapura khususnya pada waktu puncak.

Harga tiket kereta api bagi perjalanan lima minit dari Johor Baru ke Woodlands naik sebanyak tiga kali ganda daripada kadar biasa susulan pembelian tiket secara pukal oleh sidiket tidak bertanggungjawab.

Tambang biasa dari Johor Baru ke Singapura adalah RM5 dan S$5 (RM15) dari Singapura ke Johor.

Selain itu terdapat juga kegiatan menipu dengan mencetak "tiket dalam talian" kerana beberapa kereta api KTMB yang sepatutnya membawa hanya 320 penumpang dalam satu perjalanan membawa sekurang-kurangnya lebih 25 peratus penumpang.

Sindiket berkenaan tidak hanya beroperasi di Johor.

Mereka juga menjual "tiket haram" di Woodlands.

Seorang penumpang dikenali sebagai Chin, 33, yang menggunakan kereta api ke tempat kerja berkata, dia terpaksa membayar sehingga RM10 untuk mendapatkan tiket dari ulat tiket.

"Sekalipun saya sampai awal, saya tidak boleh membeli tiket untuk perjalanan saya," dakwanya.

"Untuk tiket balik, kadang-kadang saya terpaksa membayar sehingga S$10 (RM30)," katanya sambil menambah bahawa harganya akan berubah-ubah.

Chin berkata, ulat-ulat tiket biasanya beroperasi antara pukul 5 hingga 8 pagi.

Walau bagaimanapun Chin masih memilih untuk menaiki kereta api kerana ia adalah "mudah dan lebih mudah untuk perjalanan ke tempat kerja.

Seorang lagi pengguna tren yang bekerja di Singapura, M. Latha, 36, berkata dia berhenti menggunakan kereta api kerana sering berhadapan situasi "tiada tiket".

Menurutnya keadaan itu bertambah buruk dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

"Saya enggan membayar ulat dan lebih suka menaiki bas," katanya, menggesa KTMB menghalang pembelian tiket secara pukal terutamanya dalam talian.

Peguam Norman Fernandez, yang kerap ke Singapura untuk melihat anak perempuannya berkata, dia menyedari mengenai ulat tiket di kaunter KTMB di JB Sentral.

"KTMB perlu menetapkan peraturan bahawa pembeli mesti menunjukkan pasport ketika membeli tiket. Selain itu jangan benarkan orang ramai untuk membeli secara pukal.

"Masalah ini wujud sudah lama dan pihak berkuasa perlu melakukan sesuatu mengenainya," katanya.

Sementara itu, Pengurus Wilayah Selatan KTMB, Omar Nazari Othman mengakui mengetahui mengenai aktiviti penipuan seperti itu.

"Kami akan menghentikan sementara semua tempahan dalam talian mulai 1 Disember ini.

"Orang ramai hanya dibenarkan untuk membeli tiket mereka 24 jam lebih awal di kaunter tiket," katanya sambil menambah bahawa penumpang tidak lagi boleh membeli tiket untuk tempoh yang panjang.

Ulat Tiket, KTMB

Artikel Sebelum

Amaran Angin Kencang Hingga Rabu

Artikel Berikut

"Kami Nak Balik Rumah"

Artikel Lain