Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pertemuan itu akan diadakan secepat mungkin dan Malaysia meminta kerajaan Myanmar supaya mengambil tindakan segera bagi menangani perkara tersebut.
Katanya seorang pegawai kanan Wisma Putra telah mengadakan perjumpaan dengan duta besar Myanmar untuk menyampaikan keprihatinan Malaysia tentang keadaan di Myanmar itu.
"Kami akan dapatkan tarikh paling cepat untuk pertemuan itu bagi membincangkan isu Rohingya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Konsul Asia Timur Ficac keempat di sini Selasa.
Mengenai persidangan itu, Reezal menasihati konsul kehormat supaya melengkapkan diri masing-masing dengan pengetahuan tentang politik antarabangsa agar mereka lebih faham tentang sesebuah negara.