BATU PAHAT: Seramai 30 penumpang dari China dan seorang pemandu nyaris rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah bas di Kilometer 100, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini pada Selasa. Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam dikejarkan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5.06 petang. Komander Operasi BBP Ayer Hitam, Ramli Said berkata, bas tersebut terbakar keseluruhannya ketika pasukan bomba tiba namun kesemua 30 pelancong dari China termasuk seorang pemandu sempat menyelamatkan diri. "Punca kebakaran masih disiasat dan operasi dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 5.28 petang," katanya. Kesemua penumpang dan seorang pemandu pelancong dipindahkan ke sebuah lagi bas untuk meneruskan destinasi.