suria

Banjir: Warga Emas Mohon Bantuan Rakan Hantar Ke Pusat Pemindahan

Bandar Kuala Terengganu dilanda banjir selepas hujan turun berterusan. foto ZABIDI TUSIN/The Star

KUALA TERENGGANU: Sepasang suami isteri warga emas yang juga antara mangsa banjir kilat yang melanda bandar raya ini, Selasa, terpaksa meminta bantuan rakan untuk ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Nasek, dekat sini.

Misran Hamid, 61, yang tinggal di Kampung Tok Payung, Kuala Ibai bersama suaminya Mohd Salim,53, mula berpindah pada pukul 8.15 malam tadi apabila air memasuki rumah mereka sejak siang tadi tidak surut.

"Kami hanya ada motosikal hendak pindah pun susah dengan hujan tidak berhenti...masa pindah tadi air di luar rumah sudah paras lutut dan jika hujan berterusan akan masuk ke dalam rumah.

"Jadi kita bimbang sebelum keadaan bertambah parah lebih kami berpindah dahulu dan akhirnya rakan membantu menghantar kami suami isteri ke sini," katanya ketika ditemui Bernama di pusat pemindahan itu di sini.

Seramai enam mangsa termasuk warga emas dan bayi berusia 10 bulan dari dua buah keluarga ditempatkan di pusat pemindahan itu sejak ia diaktifkan pukul 6 petang Selasa.

Seorang lagi mangsa, Sarifah Jalil, 38, berkata beliau bersama suami dan dua anaknya mula berpindah kira-kira pukul 5.30 petang tadi selepas air mula naik sedalam 0.3 meter.

Katanya, rumahnya di Kampung Gong Pak Maseh mula dinaiki air kira-kira pukul 12 tengah malam Isnin ekoran hujan lebat yang berlarutan sehingga pagi.

"Bila saya sedar air mula naik kami sekeluarga masih bertahan namun bila paras air makin meningkat, kami mengambil keputusan untuk berpindah.

"Masa itu kami memang risau dengan anak yang masih kecil dan bimbang binatang berbisa dengan kami hanya ada motosikal untuk pergi ke pusat pemindahan," katanya.

Sehingga pukul 7 malam, tiga pusat pemindahan telah dibuka di negeri ini termasuk dua di daerah Kemaman di Sekolah Menengah Kebangsaan Badrul Alam Shah dan Sekolah Kebangsaan Teluk Kalong yang melibatkan 105 mangsa ketika ini. - BERNAMA


warga emas, banjir

Artikel Berikut

Artikel Lain