KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi membatalkan permohonan habeas corpus oleh Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah yang mencabar penahanan beliau di bawah Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas (Sosma) 2012. Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Nordin Hassan memutuskan beliau tidak boleh membuat keputusan mengenai merit permohonan itu kerana Maria telah dibebaskan dari tahanan pada Isnin. Nordin berkata mahkamah itu pada Isnin turut menerima surat daripada penasihat undang-undang Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan bahawa pemohon (Maria) telah dibebaskan dan responden itu tidak boleh memfailkan afidavit balas. "Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk membuat keputusan mengenai merit apatah lagi memutuskan mengenai ganti rugi. Oleh itu, saya membatalkan permohonan habeas corpus tersebut," katanya. Terdahulu, peguam Gurdial Singh Nijar, yang mewakili Maria, dalam hujahannya berkata walaupun Maria telah dibebaskan, pihaknya tetap mempersoalkan sama ada penahanan itu salah di sisi undang-undang atau sebaliknya dan turut memohon ganti rugi berhubung penahanan anak guamnya di bawah Sosma. Peguam Kanan Persekutuan, Mohammad Al-Saifi Hashim mewakili semua responden, dalam hujahannya berkata permohonan habeas corpus itu tidak lagi menjadi isu dan menjadi akademik kerana pemohon telah dibebaskan. "Isu berhubung ganti rugi harus dibuktikan dan bukan hanya dikemukakan melalui afidavit," katanya. Maria, 60, memfailkan habeas corpus itu pada 22 November lepas, dengan menamakan Ketua Unit Siasatan Jabatan Jenayah Terkelas di Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Supt Tham Lai Kuan; Ketua Polis Negara; Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden. Maria memohon perintah agar beliau dibebaskan serta-merta, dibawa ke mahkamah sepanjang perbicaraan permohonan itu, tidak ditangkap atau ditahan semula atas alasan atau berkaitan serta tidak dikenakan sebarang sekatan di bawah Sosma. Anak sulung Maria, Azumin Mohamad Yunus, 23, dalam afidavit sokongannya, berkata ibunya ditangkap ketika beliau berada di pejabatnya di Blok A, Pusat Perniagaan 8 Avenue, Petaling Jaya, pada 3.10 petang 18 Nov, sehari sebelum perhimpunan Bersih 5.0 pada Sabtu lepas. Sementara itu, Maria, yang hadir di mahkamah, memberitahu pemberita bahawa beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu secepat mungkin. Katanya beliau ada menerima ugutan dalam nota yang tertulis "Last Warning, If Not R.I.P Marina and Family" beserta sampul surat mengandungi sebutir peluru berukuran 0.45mm yang diletakkan atas meja di pejabatnya di Petaling Jaya. Katanya, beliau akan membuat laporan polis berhubung ugutan itu.