suria

Ibu Tunggal Curi Makanan Diberi Peluang Kedua

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini pada Selasa melepaskan seorang ibu tunggal yang mengaku bersalah mencuri beberapa makanan termasuk durian daripada sebuah pasar raya dengan jaminan bon RM1,000.

Majistret Mahyudin Mohamad Som dalam keputusannya berkata tertuduh Noor Fauzanna Muhammad Fauzi, 24, wajar diberi peluang kedua.

Oleh itu beliau melepaskan tertuduh dengan jaminan bon RM1,000 dengan seorang penjamin tanpa cagaran mengikut Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah.

Noor Fauzanna, peniaga burger didakwa mencuri pelbagai jenis barangan makanan antaranya Durian D13 yang berharga RM120, Chesdale, pelembut daging yang kesemuanya bernilai RM210.83 milik pasar raya Aeon, Taman Maluri, Cheras pada 8 malam, 25 November lepas.

Dia didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia seorang ibu tunggal yang menanggung anak dan ibu yang menghidap kanser darah manakala Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal dikenakan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain