suria

Ibu Lima Anak Dipenjara Tujuh Bulan Sembunyi Wang Individu Lain

KUALA LUMPUR: Seorang ibu anak lima dihukum penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini kerana menyembunyikan wang RM4,150 milik seorang jurugambar berhubung pembelian sebuah kamera melalui perniagaan dalam talian.

Majistret Haslinda A. Raof menjatuhkan hukuman itu ke atas Jazrina Jaapar, 39, seorang kerani bebas, selepas tertuduh mengaku bersalah atas enam pertuduhan dengan curangnya menyembunyikan wang tunai kepunyaan Khairul Effendi Jasri, 26, ke dalam akaun CIMB miliknya melalui enam transaksi.

Mahkamah memerintahkan Jazrina dihukum penjara tujuh bulan bagi setiap pertuduhan dan hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh dia ditangkap pada 28 Ogos lalu.

Wanita itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Bank CIMB cawangan Taman Melawati, Jalan Hulu Klang dan Bukit Tunku, di sini antara pukul 4.16 pagi dan 6.41 petang, antara 25 Jun 2012 dan 11 Julai 2012.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang melayari laman web mudah.my telah tertarik dengan iklan kamera DSLR Nikon D700.

Mangsa yang bersetuju untuk membeli kamera itu kemudian telah membuat bayaran kepada tertuduh secara berperingkat sebanyak enam kali dengan jumlah keseluruhan RM4,150 namun selepas kesemua bayaran dibuat, mangsa tidak memperoleh kamera tersebut.

Ketika rayuan, tertuduh yang diwakili peguam Samry Masri memohon hukuman ringan dengan alasan tertuduh adalah ibu tunggal yang perlu menyara lima anak dan tinggal menumpang bersama bapanya.

Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abdul Razak memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran dan mengambil kira mangsa yang kerugian kerana tidak mendapat semula wangnya itu. - BERNAMA


ibu, anak lima, sembunyi wang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain